Nenek saya (mak kepada mak) kini bermastautin di rumah saya.
---------
Nenek makin uzur. Makin tua. Kata-katanya tenggelam timbul, kadang tak difahami. Matanya tidak berfungsi lagi.
Semakin 'langsing'. Bak kata mak, "kulit dan tulang je yang tinggal"
Dulu nenek tinggal di rumahnya. Makcik sekeluarga yang menjaga. Tapi, Sabtu lepas, bila ada kemalangan kecil berlaku, mak tekad membawa nenek ke rumah kami.
---------
Kepala nenek terhantuk dalam bilik air. Saya agak dalam 4 cm panjang lukanya, dan terbelah. Mujur darah tidak mengalir laju. Waktu saya tiba di rumah nenek, beliau sedang makan mi goreng dengan susah payahnya.
Luka di dahi, bengkak. Kelihatan mutiara jernih di pelupuk matanya.
"Nek"
..saya hanya mampu tahan air mata.
---------
Oleh kerana nenek tak nampak, kami lah yang menjadi "matanya".
"Bukan pimpin tangan dan tarik, tapi ampu badannya dari belakang" itulah yang saya pesan pada adik. Nak duduk dan bangun, bukanlah perkara yang mudah pula. Ambil masa.
Dan, seharian selepas itu, saya belajar sesuatu yang dulunya banyak disebut saja : SABAR.
---------
"Penat kau bawak nenek" - nadanya macam bersalah. Mungkin nenek fikir beliau telah menyusahkan kami.
"Takpe nek"
Dalam bersusah payah, nenek saya mencangkung untuk membuang air kecilnya. Kemudian, tubuh kecil itu saya ampu bangun dan bawa ke tempat tidur.
"Terima kasih ye"
"Sama-sama nek.."
Air mata saya masih tertahankan.
---------
Pernah satu malam saya berulang alik membawa nenek selang 15 minit ke tandas. Menggeleng juga. Esoknya, saya belikan nenek pampers. Hingga waktu ini, alhamdulillah tiada masalah.
"Kau tolong nenek, nanti nenek upahlah"
"Alah, tak payahlah nek"
"Takpe, nenek ada duit"
"Haha...takpe. Along dah gemuk, dah kuat nek. Along boleh dukung nenek tau. Meh, Along dukung eh?"
"Ehh..taknaklah..macam budak-budak"
Saya sakat nenek, beliau ketawa terkekeh-kekeh. Gigi takde, mata tak nampak.
Dalam ketawa itu, saya sapu air mata.
---------
Selagi nyawa nenek masih di bumi yang bernafas, insyAllah. Along ini akan setia. Allah hanya menguji sekadar kemampuan kita. Patutlah!
Dan, saya makin berfikir, bersyukur, dan belajar.
3 comments:
Oh nenek no yg sll adr biler kiter dtg tuh ek...kim salam assalamualikum kat dia ye..ckp kat dia, 'cucu menantu tak jadi' kim salam...sabar la yan...kiter dah lalui aper yg ko lalui...jaga org tua mmg gni..hehe
adoi. sedih nya baca.. nenek fami masih kuat. cuma atuk je yang merisaukan.. tunggu masa je dalam seminggudua ni..
mekaseh kawan -kawan :)
-mentor
Post a Comment